Rancangan Maharaja Lawak Mega di kaca televisyen sedikit pun tidak mencuit hatiku. Jasadku di ruang tamu bersama ibu dan angah, namun fikirkanku entah ke mana. Gundahnya jiwa. Fikiranku mula memikirkan apa tindakan sebaiknya yang wajar aku ambil kali ini.
Berbanding cuti yang sebelum-sebelum ini, kali ini aku lebih bersemangat nak balik ke universiti. Namun kerisauan pada barang berharga pula yang menjadi fokus utama aku. Tidak dinafikan, sebelum ini banyak kali juga aku turun ke tandas sewaktu di hentian rehat tanpa membawa turun beg galasku yang berisi lappy dan barang berhargaku yang lain. Setelah ibu dan ayah mendapat tahu, mereka risau perihal situasiku. Mereka risau jika barangku hilang ketika aku ke tandas/solat.
Mindaku mulai berkira-kira mahu solat jamak takhir di rumah sewa, tetapi jika tidak sempat bagaimana? Atau aku patut solat jamak takdim di hentian rehat? Jika barang hilang bagaimana?
Aku mulai teringat-ingat akan perihal suatu ayat yang berbunyi, jika diuji sabar dan solat.
Diam. Mindaku tidak mampu untuk berfikir apa-apa. Lantas wuduk ku ambil dan melaksanakan solat sunat istikarah. Moga aku temui petunjuk dari Allah. Keesokan harinya, ibu dan ayah menghantar aku ke stesen bas. Seusai bersalaman, aku masuk ke dalam bas dan menyerahkan tiket bas untuk mendapat kepastian si pemandu. Aku pandang pemandu bas yang agak berisi badannya. Sengaja aku soal berkenaan perjalanan hari ini untuk melihat caranya melayan penumpang sepertiku, kelihatannya ramah. Hatiku lega.
Basku bergerak dan berhenti di beberapa perhentian untuk mengambil penumpang yang lain. Isi penumpang di bas tingkat bawah, yakni tingkat yang aku duduki, sungguh melegakan hatiku. Terdapat beberapa wanita muda yang kelihatan seperti pelajar dan beberapa orang makcik. Seorang lelaki di seat belakang sekali dan seorang lagi lelaki berkopiah di seat depan sekali. Alhamdulillah. Aku lega. Aku benar-benar lega. Rasanya selamat jika aku mahu turun ke tandas/solat di hentian. Lantas kerisauan semalam hadir di minda, ‘Allahu, inikah petunjukMu? Allah mahu aku Jamak Takdim kah?’. InshaAllah moga di hentian sebentar lagi, dipermudahkan untuk aku membuat keputusan. Aamiin.
Sudah hampir 7 jam aku di dalam bas, tangan dan kakiku mulai sejuk. Bas tiba di hentian rehat. Aku melihat keluar tingkap, hujan renyai-renyai. Minda dan hati masih berperang dalam diri, menuntutkan satu keputusan. Bagaikan terngiang-ngiang kata-kata dari seorang penceramah dalam rancangan Marriage Conference.
'Sebelum seseorang itu punyai tangggungjawab sebagai seorang anak, kakak, pelajar mahupun ibu, dia merupakan dan menggalas tanggungjawab sebagai hamba Allah. Oleh itu, sebagai seorang hamba, sewajarnya patuh pada perintah rajanya (Allah) yang paling utama.'
Tekad. Aku masih belum meraih apa-apa keputusan, namun langkahku diatur kemas menuju ke surau di hentian rehat. Bagaikan tanpa kawalan diriku sendiri, aku mengatur langkah untuk menunaikan solat. Ajaib sungguh.
Ya, hatiku masih bimbang. Bimbang jika beg galas berisi barang berhargaku hilang. Hanya purse dan handphone yang aku bawa sejurus aku menuruni bas.
'Jika aku jaga Allah, maka Allah akan jaga aku'. Berkali-kali aku membisikkan kata-kata itu pada diriku sendiri. Andai barangku hilang, andai aku tertinggal bas, aku redha. Namun aku tetap berdoa moga aku terlindung dari sebarang musibah yang tidak diingini.
Aku masuk ke ruangan solat, mengambil wuduk dan mencapai telekung yang tersedia. Kelihatan seorang kanak-kanak bermain-main sambil menanti ibunya selesai solat. Aku tersenyum sendiri. Dia Tahu aku mudah jatuh hati apabila melihat kanak-kanak. Mungkin Dia mahu aku solat tanpa rasa bimbang. Semakin lebar senyum di hatiku pula.
Seusai aku menunaikan Jamak Takdim, aku ke kawasan lapang di mana bas-bas berhenti. Aku mencari dan menuju ke arah bas yang aku naiki sebentar tadi. Sekilas pandang, kelihatan seorang lelaki duduk di tempat duduk pemandu, menjaga bas sementara yang lain solat, ke tandas dan makan.
'Barangkali mungkin pemandu kedua bas hari ini.' Aku memandang dia dengan senyuman. Senyumanku berbalas. Alhamdulillah. Hatiku lega. Tika itu hanya aku seorang penumpang yang baru ada di dalam bas. Setelah beberapa minit, barulah penumpang lain juga menaiki bas. Pemandu pertama mula ke hulu ke hilir memastikan penumpang di dalam basnya cukup. Alhamdulillah, Allah hadirkan kami dua orang pemandu yang tidak alpa dengan tanggungjawab dan amanah yang diberi. Aku benar-benar lega.
Bismillah, moga apa yang berlaku hari ini meningkatkan lagi keyakinan dan keprcayaan aku padaMu. Sampaikanlah aku pada destinasiku dengan selamat. InshaAllah. Aamiin. ♥