Wednesday, 10 August 2016

Engkau Memang Cantik

Akhir-akhir ini diriku menghadapi dilema antara kecantikan dan tabarruj, juga berkenaan wanita dan muslimah. Ehh, macam lebih kurang saja maksud perkataan yang aku cuba bandingkan tadi. Tapi benarlah, aku dilema berkenaan keempat2nya.

Kecantikan. Pada aku kecantikan itu ialah soal bagaimana kita menjaga penampilan. Aku faham kecantikan terbahagi kepada dua iaitu luaran dan dalaman, namun bukan soal luaran dan dalaman yang ingin aku bahaskan di sini. Kecantikan juga kadangkala melibatkan seseorang wanita memakai make-up. Mungkin ada yang pakai tebal2 kerana mahu kelihatan cantik. Berlainan denganku, aku pakai tiadalah tebal mana, jerawat masih nampak, aku cuma mahu kelihatan lebih confident. Itu sahaja.

Tabarruj. Merujuk kepada pemakaian make-up, dan perhiasan yang lainnya. Tabarruj dibenarkan cuma tidak perlulah berlebih-lebihan. Dibimbangi menarik perhatian dan menimbulkan fitnah. Yang ku runsingkan, adakah aku telah bertabarruj berlebih-lebihan dalam pada aku ingin kelihatan cantik?

Wanita. Satu keadaan bila mana seorang wanita itu hidup dengan kerjaya, cita-cita dan matlamat. Mengikut arus kemodenan dan semasa dalam mengharungi dan melalui kehidupan. Tidak tahu pula mahu aku ulaskan bagaimana, 'wanita' itu sukar untuk aku gambarkan, sedangkan aku tergolong dalam kalangannya.

Muslimah. Bila aku huraikan wanita sedemikian rupa, adakah muslimah itu lain dari wanita. Adakah muslimah tidak ada kerjaya, cita-cita dan matlamat? Tidak. Adakah muslimah semuanya kuno dan tidak mengikut arus semasa? Semestinya tidak. Bahkan pakaian muslimah semakin bergaya dan pelbagai. Namun dalam pada semakin cantik fesyen yang dicipta, adakah masih wujudnya 'muslimah' di situ? Dengan pemakaian warna yang terang serta menarik perhatian.. entahlah. Apa yang aku fahami, muslimah juga seperti yang aku gambarkan pada muslimah, cuma muslimah sewajarnya mementingkan adakah apa yang dibuat, dipakai, matlamat dan arah tuju mereka selari dengan aturan syariat. A little bit different here isn't? Jika sentiasa fokus untuk menjadi wanita hebat, aku takut semakin lupa untuk menjadi muslimah hebat.

Apalah benda yang dirunsingkan ini ya, memeningkan betul. Sedangkan lebih kurang sama saja kecantikan dan tabarruj, begitu juga dengan wanita dan muslimah. Pada orang lain mungkin sama, pada aku ianya lain. Untuk menjadi yang seimbang, seseorang itu perlu berada diantara kecantikan dan tabarruj. Bukannya lebihkan salah satu diantaranya. Begitu juga soal wanita dan muslimah, seseorang itu perlu berada di antara keduanya, berada di tengah-tengah.

Supaya, bila menjaga kecantikan, tidak lupa batas tabarruj yang ditetapkan. Supaya, bila menjadi wanita hebat, tidak lupa tanggungjawab sebagai seorang muslimah. Inilah yang aku cuba sampaikan. Persoalan yang bermain diminda aku adalah, bagaimana? Bagaimana mahu seimbangkan di antara keduanya?

Sudah lama mahu ku sentuh. Hadiah yang Ana belikan untukku sewaktu asasi dahulu. Tahu mengapa aku masih belum membuka balutan plastik dan membaca buku ini? Kerana my first impression is, cover buku ini tidak cantik. Tidak menarik perhatian langsung. Telahku, mesti isinya tidak ubah seperti buku motivasi yang membosankan. Ya, mudahnya aku mengada-adakan cerita, kan? Baca tidak, belek tidak, sentuh pun tidak. Bukan aku tidak hargai pemberian orang, cuma mungkin aura nak baca tu tiada.

Namun, suatu hari aku paksakan diri untuk membuka balutan plastik buku ini. Lantas aku belek isinya. Padaku tidak adil aku memberi pendapat tanpa menilainya dengan lebih terperinci. Ternyata buku ini tidaklah seperyi yang aku bayangkan. Font yang dipilih serta susunan perenggannya amat menambat hati. Jujur aku katakan, tidak semua buku yang font dan susunannya aku minat. Kadangkala buat semangat membaca aku pudar, sehingga akhirnya ada juga buku-buku yang mahu aku baca, terbengkalai tanpa pengakhiran.

Alhamdulillah, mungkin Allah mahu aku membaca buku ini, bersesuaian dengan dilema yang aku hadapi. InshaAllah, jom baca! :)

Thursday, 4 August 2016

Peluang.

Jika kau lihat hujan yang turun membasahi bumi, akan kelihatan titisannya di dedaunan, juga kadangkala berkumpul membentuk lopak air. Namun, pada saat sinar mentari memunculkan diri, titisan air pada daun-daun ini lesap entah kemana. Bahkan, lopak air yang kau lihat tadi juga, tidak diketahui di mana wujudnya. Tiada kesan, cuaca cerah, tanah tempat kau berpijak juga kering dan subur kembali dengan rumput dan tumbuhan kecil.

Seperti itu juga, keadaanmu. Pada saat ini kau bahagia, hati kau berada dalam keadaan yang baik-baik sahaja. Sedangkan, di seketika waktu dahulu, hati kau pernah sakit. Luka yang dahulu pernah dalam, semakin dalam, hinggakan kau tidak tahu mahu berbuat apa. Rasa seperti mahu sahaja tercabut nyawa dari jasad, agar kesakitan tidak lagi dirasai. Namun ajaibnya masa yang berlalu, membawa kesakitan kau hilang tanpa jejak.

Meski kau sakit seperti mahu berhenti dari terus melangkah di dunia ini, harus kau ingat, Allah mengurniakan nyawa hanya satu. Tiada gantinya, tiada yang kedua, tiada yang ketiga dan seterusnya. Lantas kau persoalkan, bagaimana mahu meneruskan hidup dengan kesakitan yang tiada sudahnya. Masa mungkin salah satu asbab memulihkan luka, tetapi yang Allah sediakan sentiasa pada tiap-tiap kali kau rasa seperti ingin berputus asa hanya satu, iaitu peluang.

Allah hadirkan peluang untuk bertaubat. Allah hadirkan peluang untuk menyelami hikmah, nikmat dan ibrah disebalik ujianNya. Juga, Allah hadirkan perasaan, semangat dan harapan yang baru. Allah mahu kau meneruskan hidup, Dia mahu kau tahu, segalanya hanyalah ujian bagi mereka yang sabar. Saat itu, kau akan lupa segala sakit pedih ujian yang kau adu-adukan padaNya. Yang tinggal hanyalah rasa lega dan aman.

Inilah peluang dari Dia. Segalanya terletak di tangan kita, mahu diambil atau dilepaskan peluang itu. Ayuhlah, mulakan hidup baru, dengan nafas dan hati yang baru. Segala dan setiap kesakitan, kesabaran, dan rasa tidak mengalah kau, untuk meneruskan perjalanan di jalan penuh liku itu, sudah dinilai olehNya.  Bahkan, nikmat, hikmah serta ibrahnya, dijadikan bekal untuk kau memulakan langkah yang baru. Lapangkanlah hati memaafkan, agar tiada lagi duri yang bercambah tanpa kau sedari. InshaAllah, perjalanan kau mudah, tidak lelah lagi. Yakin dan percaya dengan aturan Allah, sebagai perisai terakhir, sebelum meneruskan langkah, InshaAllah. Aamiin.