Sunday, 20 November 2016

Dengan CintaMu Doa Ku Lafazkan

Dari sehari ke sehari, aku sering menemukan website, peringatan di laman facebook tentang betapa muda mudi masa kini, asyik sibuk memikirkan soal jodoh. Tambahan lagi, dengan ujian hati dan perasaan yang Allah hadirkan, buat aku semakin muak dengan soal jodoh. Buat aku sentiasa berhati-hati. Buat aku semakin merasakan yang aku tidaa layak mempunyai seorang teman, iaitu jodoh.

Namun entah mengapa, hari ini, berjuraian air mataku ditikar sejadah. Mengadu dan menangis hingga kehabisan tenaga kepada Allah yang Maha Mendengar. Tiada sepatah kata yang terucap, hanya kedengaran tangisanku sendirian di bilik. Aku tahu, Allah dengar doaku, segala isi hatiku, meski aku tidak luahkan walau sebutir kata-kata.

"Ya Allah, sudah lama aku tidak berdoa soal jodohku, yang entah siapa dan entah di mana. Betapa hati ini mahukan seorang insan, yang pada pandanganMu adalah sebaik2 jodoh buatku. Selama ini, pelbagai halangan aku letakkan di hatiku, kerna aku tidak mahu memikirkan soal jodoh. Aku terlalu banyak kekurangan. Aku cepat sakit, dan terlalu lalin dari orang lain. Aku semakin tidak yakin, akan ada orang yang sanggup terima orang seperti aku untuk dijadikan teman hidup. Aku tidaklah 100% dan  serba-serbi pandai dalam segala hal. Sikap dan perangaiku apatah lagi. Allahu...

Namun, mulai hari ini, aku mohon semohon-mohonnya dariMu, kurniakanlah aku seorang jodoh, yang mampu bawa aku ke jalanMu. Terima kasih, kerana membuka pintu hati aku untuk berdoa kepadaMu. Maafkan aku di atas segala dosa dan maksiat yang pernah aku lakukan. Maafkan aku di atas segala cacat cela ibadah dan amalanku. Izinkanlah aku, mempunyai seorang jodoh, yang akan mendekatkan aku kepadaMu. Aku mohon.."

Aku sepertinya terdesak mahukan seorang teman, tetapi siapa sahaja di dunia ini mahu hidup sendirian? Semestinya tiada. Hampir setengah jam aku menangis tanpa henti, assignment melambak perlu disiapkan, manakala tenagaku hilang entah ke mana.

Moga aku kuat. Moga aku tabah. Aku yakin dengan janjiMu. Dan aku tahu, Engkau tidak akan sekali-kali mensia-siakan makhluk ciptaanMu. Terima kasih Ya Allah. Meski cinta kadangkala membuatkan aku sakit, tapi melalui cinta juga Engkau membawa aku kepadaMu. Love YOU. Always.

Wednesday, 10 August 2016

Engkau Memang Cantik

Akhir-akhir ini diriku menghadapi dilema antara kecantikan dan tabarruj, juga berkenaan wanita dan muslimah. Ehh, macam lebih kurang saja maksud perkataan yang aku cuba bandingkan tadi. Tapi benarlah, aku dilema berkenaan keempat2nya.

Kecantikan. Pada aku kecantikan itu ialah soal bagaimana kita menjaga penampilan. Aku faham kecantikan terbahagi kepada dua iaitu luaran dan dalaman, namun bukan soal luaran dan dalaman yang ingin aku bahaskan di sini. Kecantikan juga kadangkala melibatkan seseorang wanita memakai make-up. Mungkin ada yang pakai tebal2 kerana mahu kelihatan cantik. Berlainan denganku, aku pakai tiadalah tebal mana, jerawat masih nampak, aku cuma mahu kelihatan lebih confident. Itu sahaja.

Tabarruj. Merujuk kepada pemakaian make-up, dan perhiasan yang lainnya. Tabarruj dibenarkan cuma tidak perlulah berlebih-lebihan. Dibimbangi menarik perhatian dan menimbulkan fitnah. Yang ku runsingkan, adakah aku telah bertabarruj berlebih-lebihan dalam pada aku ingin kelihatan cantik?

Wanita. Satu keadaan bila mana seorang wanita itu hidup dengan kerjaya, cita-cita dan matlamat. Mengikut arus kemodenan dan semasa dalam mengharungi dan melalui kehidupan. Tidak tahu pula mahu aku ulaskan bagaimana, 'wanita' itu sukar untuk aku gambarkan, sedangkan aku tergolong dalam kalangannya.

Muslimah. Bila aku huraikan wanita sedemikian rupa, adakah muslimah itu lain dari wanita. Adakah muslimah tidak ada kerjaya, cita-cita dan matlamat? Tidak. Adakah muslimah semuanya kuno dan tidak mengikut arus semasa? Semestinya tidak. Bahkan pakaian muslimah semakin bergaya dan pelbagai. Namun dalam pada semakin cantik fesyen yang dicipta, adakah masih wujudnya 'muslimah' di situ? Dengan pemakaian warna yang terang serta menarik perhatian.. entahlah. Apa yang aku fahami, muslimah juga seperti yang aku gambarkan pada muslimah, cuma muslimah sewajarnya mementingkan adakah apa yang dibuat, dipakai, matlamat dan arah tuju mereka selari dengan aturan syariat. A little bit different here isn't? Jika sentiasa fokus untuk menjadi wanita hebat, aku takut semakin lupa untuk menjadi muslimah hebat.

Apalah benda yang dirunsingkan ini ya, memeningkan betul. Sedangkan lebih kurang sama saja kecantikan dan tabarruj, begitu juga dengan wanita dan muslimah. Pada orang lain mungkin sama, pada aku ianya lain. Untuk menjadi yang seimbang, seseorang itu perlu berada diantara kecantikan dan tabarruj. Bukannya lebihkan salah satu diantaranya. Begitu juga soal wanita dan muslimah, seseorang itu perlu berada di antara keduanya, berada di tengah-tengah.

Supaya, bila menjaga kecantikan, tidak lupa batas tabarruj yang ditetapkan. Supaya, bila menjadi wanita hebat, tidak lupa tanggungjawab sebagai seorang muslimah. Inilah yang aku cuba sampaikan. Persoalan yang bermain diminda aku adalah, bagaimana? Bagaimana mahu seimbangkan di antara keduanya?

Sudah lama mahu ku sentuh. Hadiah yang Ana belikan untukku sewaktu asasi dahulu. Tahu mengapa aku masih belum membuka balutan plastik dan membaca buku ini? Kerana my first impression is, cover buku ini tidak cantik. Tidak menarik perhatian langsung. Telahku, mesti isinya tidak ubah seperti buku motivasi yang membosankan. Ya, mudahnya aku mengada-adakan cerita, kan? Baca tidak, belek tidak, sentuh pun tidak. Bukan aku tidak hargai pemberian orang, cuma mungkin aura nak baca tu tiada.

Namun, suatu hari aku paksakan diri untuk membuka balutan plastik buku ini. Lantas aku belek isinya. Padaku tidak adil aku memberi pendapat tanpa menilainya dengan lebih terperinci. Ternyata buku ini tidaklah seperyi yang aku bayangkan. Font yang dipilih serta susunan perenggannya amat menambat hati. Jujur aku katakan, tidak semua buku yang font dan susunannya aku minat. Kadangkala buat semangat membaca aku pudar, sehingga akhirnya ada juga buku-buku yang mahu aku baca, terbengkalai tanpa pengakhiran.

Alhamdulillah, mungkin Allah mahu aku membaca buku ini, bersesuaian dengan dilema yang aku hadapi. InshaAllah, jom baca! :)

Thursday, 4 August 2016

Peluang.

Jika kau lihat hujan yang turun membasahi bumi, akan kelihatan titisannya di dedaunan, juga kadangkala berkumpul membentuk lopak air. Namun, pada saat sinar mentari memunculkan diri, titisan air pada daun-daun ini lesap entah kemana. Bahkan, lopak air yang kau lihat tadi juga, tidak diketahui di mana wujudnya. Tiada kesan, cuaca cerah, tanah tempat kau berpijak juga kering dan subur kembali dengan rumput dan tumbuhan kecil.

Seperti itu juga, keadaanmu. Pada saat ini kau bahagia, hati kau berada dalam keadaan yang baik-baik sahaja. Sedangkan, di seketika waktu dahulu, hati kau pernah sakit. Luka yang dahulu pernah dalam, semakin dalam, hinggakan kau tidak tahu mahu berbuat apa. Rasa seperti mahu sahaja tercabut nyawa dari jasad, agar kesakitan tidak lagi dirasai. Namun ajaibnya masa yang berlalu, membawa kesakitan kau hilang tanpa jejak.

Meski kau sakit seperti mahu berhenti dari terus melangkah di dunia ini, harus kau ingat, Allah mengurniakan nyawa hanya satu. Tiada gantinya, tiada yang kedua, tiada yang ketiga dan seterusnya. Lantas kau persoalkan, bagaimana mahu meneruskan hidup dengan kesakitan yang tiada sudahnya. Masa mungkin salah satu asbab memulihkan luka, tetapi yang Allah sediakan sentiasa pada tiap-tiap kali kau rasa seperti ingin berputus asa hanya satu, iaitu peluang.

Allah hadirkan peluang untuk bertaubat. Allah hadirkan peluang untuk menyelami hikmah, nikmat dan ibrah disebalik ujianNya. Juga, Allah hadirkan perasaan, semangat dan harapan yang baru. Allah mahu kau meneruskan hidup, Dia mahu kau tahu, segalanya hanyalah ujian bagi mereka yang sabar. Saat itu, kau akan lupa segala sakit pedih ujian yang kau adu-adukan padaNya. Yang tinggal hanyalah rasa lega dan aman.

Inilah peluang dari Dia. Segalanya terletak di tangan kita, mahu diambil atau dilepaskan peluang itu. Ayuhlah, mulakan hidup baru, dengan nafas dan hati yang baru. Segala dan setiap kesakitan, kesabaran, dan rasa tidak mengalah kau, untuk meneruskan perjalanan di jalan penuh liku itu, sudah dinilai olehNya.  Bahkan, nikmat, hikmah serta ibrahnya, dijadikan bekal untuk kau memulakan langkah yang baru. Lapangkanlah hati memaafkan, agar tiada lagi duri yang bercambah tanpa kau sedari. InshaAllah, perjalanan kau mudah, tidak lelah lagi. Yakin dan percaya dengan aturan Allah, sebagai perisai terakhir, sebelum meneruskan langkah, InshaAllah. Aamiin.

Thursday, 2 June 2016

Moga Renungan Membawa Erti

Aku duduk merenung, kerja-kerja yang melambak aku pandang sepi. Hatiku mulai berbisik, 'Sekarang baru dilimpahi assignment, belajar.. belajar.. dan belajar.. kalau aku tak cuba biasakan cari masa atau luangkan masa mencari Dia dan ilmuNya, bagaimana jika aku dah bekerja suatu hari nanti? Belum lagi jika aku sudah menjadi seorang ibu? Ohh tanggungjawab makin berat.. aku tak mampu nak fikir :('

Ahh.. rindunya zaman sekolah dahulu. Jadual waktu elok tersusun oleh pihak sekolah. Pagi pergi sekolah, petang dan malam ada waktu tambahan untuk belajar, waktu maghrib dan isyak semua berada di surau.. Mengaji.. Berzikir sama2.. Walaupun aktiviti yang disediakan hampir sama setiap tahun, sehingga hampir muak menadah telinga mendengar hal yang sama.. ceramah yang sama.. Seperti Isra' Mikraj misalnya. Setiap tahun ceramah yang sama, tetapi cuba disoal kembali, belum tentu dapat aku huraikan dengan lengkap. Allahurabbi.. sungguh aku rindu.

Bila difikirkan kembali cara hidup aku juga semakin berbeza. Aku masih solat dan mengamalkan tuntutan Islam. Tetapi pengisian hidupku seperti makin kurang atau tidak bertambah. Allah..

Jika insan lain tidak mahu ingat memori lalu mereka dan diri mereka dulu-dulu, aku pula teramat rindukan memori dan diriku yang dulu.

Dulu ada ramai kawan-kawan yang boleh beri nasihat dan bimbing diriku. Sekarang juga masih ada, tetapi kebanyakannya sibuk dengan kehidupan masing-masing. Walau aku menangis air mata darah sekalipun, masa tidak akan berulang kembali, yang bersama aku tetap memori.

Ramadhan kian hampir, dan aku berharap sangat setiap saat mendekatkan aku pada Dia. Mengisi kekosongan hati yang merindui Dia dan entah siapa.

Masih aku ingat impian aku untuk menanti seseorang yang tidak aku tahu siapa dia. Dengan penuh tekad aku mahu rentasi kehidupan ini dengan keyakinan terhadap Allah sebelum tiba waktu aku dipertemukan dengan dia. Hahahaha.. terlalu cetek pemikiranku. Jalan ini benar-benar jauh. Aku tidak betah menunggu sesiapa lagi.

Jika ada rezeki aku untuk bersama sesiapa, adalah. Jika tiada maka aku redha. Moga cinta Allah mengisi hatiku. Cukuplah andai tujuan aku merentasi hidup ini adalah untuk menuju kepadaNya. Jika ada niatku yang lebih dari yang sepatutnya, doakan aku moga aku sedar hakikat kehidupan ini. Tidak lain dan tidak bukan, melainkan menuju ke arah Allah S.W.T.

Aku mungkin melakukan dosa yang sama berulang kali, aku mungkin akan jatuh tergelincir tanpa mampu mengira berapa kali.. doakan aku moga aku bisa bangun dan bertaubat. Sebelum aku menghembuskan nafas terakhir, ke dunia yang kekal abadi.

Saturday, 27 February 2016

Takdim vs. Takhir

Rancangan Maharaja Lawak Mega di kaca televisyen sedikit pun tidak mencuit hatiku. Jasadku di ruang tamu bersama ibu dan angah, namun fikirkanku entah ke mana. Gundahnya jiwa. Fikiranku mula memikirkan apa tindakan sebaiknya yang wajar aku ambil kali ini.

Berbanding cuti yang sebelum-sebelum ini, kali ini aku lebih bersemangat nak balik ke universiti. Namun kerisauan pada barang berharga pula yang menjadi fokus utama aku. Tidak dinafikan, sebelum ini banyak kali juga aku turun ke tandas sewaktu di hentian rehat tanpa membawa turun beg galasku yang berisi lappy dan barang berhargaku yang lain. Setelah ibu dan ayah mendapat tahu, mereka risau perihal situasiku. Mereka risau jika barangku hilang ketika aku ke tandas/solat.

Mindaku mulai berkira-kira mahu solat jamak takhir di rumah sewa, tetapi jika tidak sempat bagaimana? Atau aku patut solat jamak takdim di hentian rehat? Jika barang hilang bagaimana?

Aku mulai teringat-ingat akan perihal suatu ayat yang berbunyi, jika diuji sabar dan solat.

Diam. Mindaku tidak mampu untuk berfikir apa-apa. Lantas wuduk ku ambil dan melaksanakan solat sunat istikarah. Moga aku temui petunjuk dari Allah. Keesokan harinya, ibu dan ayah menghantar aku ke stesen bas. Seusai bersalaman, aku masuk ke dalam bas dan menyerahkan tiket bas untuk mendapat kepastian si pemandu. Aku pandang pemandu bas yang agak berisi badannya. Sengaja aku soal berkenaan perjalanan hari ini untuk melihat caranya melayan penumpang sepertiku, kelihatannya ramah. Hatiku lega.

Basku bergerak dan berhenti di beberapa perhentian untuk mengambil penumpang yang lain. Isi penumpang di bas tingkat bawah, yakni tingkat yang aku duduki, sungguh melegakan hatiku. Terdapat beberapa wanita muda yang kelihatan seperti pelajar dan beberapa orang makcik. Seorang lelaki di seat belakang sekali dan seorang lagi lelaki berkopiah di seat depan sekali. Alhamdulillah. Aku lega. Aku benar-benar lega. Rasanya selamat jika aku mahu turun ke tandas/solat di hentian. Lantas kerisauan semalam hadir di minda, ‘Allahu, inikah petunjukMu? Allah mahu aku Jamak Takdim kah?’. InshaAllah moga di hentian sebentar lagi, dipermudahkan untuk aku membuat keputusan. Aamiin.

Sudah hampir 7 jam aku di dalam bas, tangan dan kakiku mulai sejuk. Bas tiba di hentian rehat. Aku melihat keluar tingkap, hujan renyai-renyai. Minda dan hati masih berperang dalam diri, menuntutkan satu keputusan. Bagaikan terngiang-ngiang kata-kata dari seorang penceramah dalam rancangan Marriage Conference.

'Sebelum seseorang itu punyai tangggungjawab sebagai seorang anak, kakak, pelajar mahupun ibu, dia merupakan dan menggalas tanggungjawab sebagai hamba Allah. Oleh itu, sebagai seorang hamba, sewajarnya patuh pada perintah rajanya (Allah) yang paling utama.'

Tekad. Aku masih belum meraih apa-apa keputusan, namun langkahku diatur kemas menuju ke surau di hentian rehat. Bagaikan tanpa kawalan diriku sendiri, aku mengatur langkah untuk menunaikan solat. Ajaib sungguh.

Ya, hatiku masih bimbang. Bimbang jika beg galas berisi barang berhargaku hilang. Hanya purse dan handphone yang aku bawa sejurus aku menuruni bas.

'Jika aku jaga Allah, maka Allah akan jaga aku'. Berkali-kali aku membisikkan kata-kata itu pada diriku sendiri. Andai barangku hilang, andai aku tertinggal bas, aku redha. Namun aku tetap berdoa moga aku terlindung dari sebarang musibah yang tidak diingini.

Aku masuk ke ruangan solat, mengambil wuduk dan mencapai telekung yang tersedia. Kelihatan seorang kanak-kanak bermain-main sambil menanti ibunya selesai solat. Aku tersenyum sendiri. Dia Tahu aku mudah jatuh hati apabila melihat kanak-kanak. Mungkin Dia mahu aku solat tanpa rasa bimbang. Semakin lebar senyum di hatiku pula.

Seusai aku menunaikan Jamak Takdim, aku ke kawasan lapang di mana bas-bas berhenti. Aku mencari dan menuju ke arah bas yang aku naiki sebentar tadi. Sekilas pandang, kelihatan seorang lelaki duduk di tempat duduk pemandu, menjaga bas sementara yang lain solat, ke tandas dan makan.

'Barangkali mungkin pemandu kedua bas hari ini.' Aku memandang dia dengan senyuman. Senyumanku berbalas. Alhamdulillah. Hatiku lega. Tika itu hanya aku seorang penumpang yang baru ada di dalam bas. Setelah beberapa minit, barulah penumpang lain juga menaiki bas. Pemandu pertama mula ke hulu ke hilir memastikan penumpang di dalam basnya cukup. Alhamdulillah, Allah hadirkan kami dua orang pemandu yang tidak alpa dengan tanggungjawab dan amanah yang diberi. Aku benar-benar lega.

Bismillah, moga apa yang berlaku hari ini meningkatkan lagi keyakinan dan keprcayaan aku padaMu. Sampaikanlah aku pada destinasiku dengan selamat. InshaAllah. Aamiin. ♥

Monday, 15 February 2016

Berfungsikah hati ini?

Hati aku bagaikan tidak berfungsi lagi. Seolah-olah sudah mencapai tahapnya sendiri. Patah hati? Mungkin.

Di saat ini, dengan penuh kasih sayang Allah memperlihatkan aku kedua ayat ini. Setelah hampir beberapa hari hatiku diuji sedemikian rupa. Allahurabbi.

"Maka janganlah ucapan mereka menyedihkan kamu. Sesungguhnya Kami mengetahui apa yang mereka rahasiakan dan apa yang mereka nyatakan." [36:76]

"Dan orang-orang yang beriman serta beramal saleh, mereka itu penghuni syurga, mereka kekal di dalamnya." [2:82]

Ujian Allah kali ini benar menguji diriku yang serba kekurangan. Bukan aku tidak cuba untuk bangun, aku cuba tapi tidak terdaya.

Sehinggakan aku melakukan apa jua yang aku mahu tanpa dikawal hati, ya.. hati aku tidak mampu lagi berfungsi dengan baik.

Apa yang terjadi tidak difahami dan diketahui manusia lain, tapi Allah Tahu. Allah Tahu betapa aku cuba melawan segala ujian hebat yang sedang melanda diri ini. Namun kapankah segalanya akan berakhir?

Aku lelah, melawan diri sendiri... Mungkin aku perlu bertahan sedikit sahaja lagi. Dan aku perlu cuba segala yang aku mampu untuk terus bertahan. InshaAllah, aku yakin aku kuat. Yang mengganggu hanyalah bisikan iblis Laknatullah.

Tidak mungkin untuk aku berputus asa. Alangkah sia-sia nama khalifah diberi oleh Allah buatku! Seorang khalifah tidak wajar memandu akal dengan nafsu! Sebaliknya WAJAR dikawal dengan HATI YANG BERIMAN!

ALLAHUAKHBAR! ALLAHUAKHBAR! ALLAHUAKHBAR!