Thursday, 4 August 2016

Peluang.

Jika kau lihat hujan yang turun membasahi bumi, akan kelihatan titisannya di dedaunan, juga kadangkala berkumpul membentuk lopak air. Namun, pada saat sinar mentari memunculkan diri, titisan air pada daun-daun ini lesap entah kemana. Bahkan, lopak air yang kau lihat tadi juga, tidak diketahui di mana wujudnya. Tiada kesan, cuaca cerah, tanah tempat kau berpijak juga kering dan subur kembali dengan rumput dan tumbuhan kecil.

Seperti itu juga, keadaanmu. Pada saat ini kau bahagia, hati kau berada dalam keadaan yang baik-baik sahaja. Sedangkan, di seketika waktu dahulu, hati kau pernah sakit. Luka yang dahulu pernah dalam, semakin dalam, hinggakan kau tidak tahu mahu berbuat apa. Rasa seperti mahu sahaja tercabut nyawa dari jasad, agar kesakitan tidak lagi dirasai. Namun ajaibnya masa yang berlalu, membawa kesakitan kau hilang tanpa jejak.

Meski kau sakit seperti mahu berhenti dari terus melangkah di dunia ini, harus kau ingat, Allah mengurniakan nyawa hanya satu. Tiada gantinya, tiada yang kedua, tiada yang ketiga dan seterusnya. Lantas kau persoalkan, bagaimana mahu meneruskan hidup dengan kesakitan yang tiada sudahnya. Masa mungkin salah satu asbab memulihkan luka, tetapi yang Allah sediakan sentiasa pada tiap-tiap kali kau rasa seperti ingin berputus asa hanya satu, iaitu peluang.

Allah hadirkan peluang untuk bertaubat. Allah hadirkan peluang untuk menyelami hikmah, nikmat dan ibrah disebalik ujianNya. Juga, Allah hadirkan perasaan, semangat dan harapan yang baru. Allah mahu kau meneruskan hidup, Dia mahu kau tahu, segalanya hanyalah ujian bagi mereka yang sabar. Saat itu, kau akan lupa segala sakit pedih ujian yang kau adu-adukan padaNya. Yang tinggal hanyalah rasa lega dan aman.

Inilah peluang dari Dia. Segalanya terletak di tangan kita, mahu diambil atau dilepaskan peluang itu. Ayuhlah, mulakan hidup baru, dengan nafas dan hati yang baru. Segala dan setiap kesakitan, kesabaran, dan rasa tidak mengalah kau, untuk meneruskan perjalanan di jalan penuh liku itu, sudah dinilai olehNya.  Bahkan, nikmat, hikmah serta ibrahnya, dijadikan bekal untuk kau memulakan langkah yang baru. Lapangkanlah hati memaafkan, agar tiada lagi duri yang bercambah tanpa kau sedari. InshaAllah, perjalanan kau mudah, tidak lelah lagi. Yakin dan percaya dengan aturan Allah, sebagai perisai terakhir, sebelum meneruskan langkah, InshaAllah. Aamiin.

No comments:

Post a Comment