Tuesday, 5 August 2014

Sendiriankah aku?

Berkali-kali aku menanyakan pada diri, betulkah aku perlu berjalan sendiri? Beginikah hakikat perjalanan di bumi Sang Pencipta? Sendirian? Allahu . . . Sungguh, itu bukan hal yang mudah!

Berkali-kali juga kedengaran nasihat-nasihat yang lain, manusia ini, sekali dua jika dijadikan tempat mengadu masalah, mungkin kita akan dilayannya. Namun, jika berkali-kali, contohnya kita adukan hal dan masalah yang sama, pasti aduan dan keluhan kita itu hanya didiengari sambil lewa sahaja. Percaya atau tidak? Terserahlah pada kalian.

Hanya ada satu tempat aduan, keluhan dan rungutan, yang mana walau berkali-kali kita mengadu, mengeluh dan menceritakan segala kesedihan berulang, tetap setia mendengar. Subhanallah. Itulah Sang Pencipta kita. Yang mengharukan hatiku, Dia bahkan rindu mendengar keluhan dan rintihan kita. Adakah manusia seperti itu? Rasanya tidak ada,kan?

Beberapa hari yang lalu, aku benar-benar dilanda masalah. Pelbagai persoalan bermain di minda. Fikiranku sendiri serabut dan tidak terurus. Aku fikir jika duka ini ku kongsi bersama yang lain, mungkin aku akan menemui jalan keluarnya. Namun, lain pula yang aku dapat. Masalah masih tidak selesai. Persoalan tidak pula terjawab malah semakin bertambah. Allahu.

Hati dan jiwaku mulai menyalahkan yang lain, seolah-olah disebabkan merekalah masalah aku tidak selesai. Apa mereka tidak mampukah memahami aku? Nasihat yang aku dapatkan ialah, ‘Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum jika kaum itu tidak mengubah nasibnya sendiri’. Sungguh, jiwa yang tidak tenang ini kian diselubungi rasa marah. Marah sebab aku dinasihati berkenaan hal yang aku sendiri tahu. Nasihat yang sentiasa diulang-ulang.

Sesaat jiwaku reda, aku fikirkan semula nasihat itu. Teringat pula pada Surah As-Saff, Allah berfirman yang bermaksud, ‘Dia tidak suka hambaNya mengatakan hal yang tidak dilaksanakannya’. Yup, aku tahu ini dan itu, tetapi adakah aku melaksanakannya dengan sebaik mungkin? Seperti nasihat yang aku dapat awal tadi, adakah aku sendiri berusaha mengubah nasibku ini? Allahuakhbar!

Hanya dengan mengingati Allah, nescaya hati akan tenang. Tika ini fikiranku bagaikan kosong, apa perlukan aku bermula dari awal dijalan Allah ini, atau memperbetulkan diri dan teruskan perjalanan. Sahabat aku mengingatkan, ‘Ingatlah semula bagaimana saat kita mula-mula berhijrah, InshaAllah itu mungkin membantu’.

Benarlah, manakan mungkin seseorang itu sentiasa memberi perhatian penuh terhadap kita, itu mustahil kerana setiap seorang Allah berikan ujian masing-masing untuk diselesaikan sebaik mungkin.

Perumpamaannya seperti kita mengambil peperiksaan, semestinya dilarang sama sekali menanyakan jawapannya kepada orang lain. Disebabkan itu, sebelum diadakan peperiksaan pasti diadakan kuiz secara berkumpulan, atau assignment secara berkumpulan. Ketika itu, masing-masing sewajarnya mengambil maklumat sebanyak mungkin untuk digunakan ketika peperiksaan akhir.

Samalah seperti ujian hidup, ambil peluang untuk bertanya kepada orang lain jika berkesempatan dan gunakan waktu sebaiknya untuk fahami serta selami sesuatu sebaiknya. Bimbang jika tiba waktu tertentu untuk mengahadapi ujianNya, kita hanya sendirian. Tika itu berbekalkan bekalan kita tadilah, ujian Allah perlu kita hadapi sendirian tidak berteman.

InshaAllah, saya juga insan biasa, yang sering jatuh tersungkur, bahkan mungkin terguling-guling tergolek dan payah sekali untuk bangun. Namun, saya tetap akan cuba dan cuba untuk bangun meski mengambil masa yang agak lama. Moga ingatan ini mengingatkan diri dan semua. InshaAllah.

Ingatan terakhir, sendiriankah kita? Tidaklah, Allah ada. Sentiasa setia disisi, sentiasa ternanti-nanti akan rintihan kita. Jika kita rasai sebaiknya perasaan adanya Allah Yang Satu ini, InshaAllah kita akan sentiasa yakin dan percaya yang kita tidak pernah bersendirian. InshaAllah. Aamiin.


#PrayforMH370  #PrayforMH17  #Pray4allMuslim

No comments:

Post a Comment